TAHAP PENGUASAAN BACAAN AL-QURAN DI KALANGAN
GURU PELATIH BUKAN PENGKHUSUSAN PENGAJIAN AGAMA ISLAM
 

Nasir B. Mohamad

Rubiyah Bt. Haron

Jabatan Pendidikan Islam Dan Moral
 

Abstrak

Kajian ini bertujuan meninjau tahap penguasaan bacaan al-Quran di kalangan guru-guru pelatih Islam kursus Diploma Perguruan Malaysia , Semester Satu ( 1997 ) bukan Pengkhususan Pengajian Agama Islam , Institut Perguruan Darulaman,. Seramai 80 orang guru pelatih dipilih secara rawak daripada 8 kumpulan kuliah, pelbagai pengkhususan. Kajian ini melihat secara menyeluruh tentang kebolehan membaca al-Quran yang meliputi aspek mengenali Huruf Hijaiyah , tanda-tanda bacaan , Hukum Tajwid , pengetahuan tentang lagu-lagu dan suara dalam pembacaan al-Quran dan penglibatan semasa di sekolah dalam pelbagai aktiviti yang berkaitan . Kajian ini juga bertujuan melihat sejauh mana pelatih dapat menghafaz surah-surah pendek . Data kajian ini diperolehi melalui soal selidik yang digubal sendiri oleh penyelidik sendiri dengan bantuan pensyarah yang berpengalaman. Pentadbiran soal selidik dijalankan secara kumpulan mengikut pengkhususan dengan dibantu oleh pensyarah-pensyarah Jabatan Pendidikan Islam dan Moral. Kajian ini mendapati kebolehan membaca al-Quran di kalangan guru pelatih umumnya masih di tahap yang rendah khasnya aspek pembacaan al-Quran yang lebih mencabar yang memerlukan kemahiran yang tinggi. Dapatan kajian juga menunjukkan wujudnya perbezaan signifikan tahap kebolehan membaca al-Quran guru pelatih lelaki dan guru pelatih perempuan (t = - 2.13, P<.05) serta guru pelatih berpencapaian tinggi dan berpencapaian rendah dalam mata pelajaran Agama Islam SPM ( l = 13.8, df = 6, p <.05 ) . Beberapa cadangan di kemukakan untuk meningkatkan tahap kebolehan membaca al-Quran di kalangan guru pelatih.
Pengenalan
 
Kajian ini bertujuan meninjau penguasaan bacaan al-Quran di kalangan guru pelatih Islam Kursus Diploma Perguruan Malaysia, Semester Satu ( ambilan Jun 1997 ) bukan Pengkhususan Pengajian Agama Islam, Institut Perguruan Darulaman. Sebagaimana termaklum , pembelajaran dan penguasaan bacaan al-Quran adalah merupakan kewajipan setiap muslim . Allah telah memerintahkannya melalui firmanNya dalam Surah al-Muzammil (4) :
Maksudnya :

" Hendaklan kamu mentartilkan bacaan al-Quran seberapa tartil yang boleh. "

Berhubung makna ‘ Tartil ’ , Saiyidina Ali Karramallah Wajhah telah menjelaskan bahawa ia bermaksud mengelokkan sebutan huruf di samping menjaga hukum bacaan( Hukum Tajwid ).Bagi seorang muslim , mempelajari Ilmu Tajwid adalah tanggung jawab Fardhu Kifayah , sementara membaca al- Quran mengikut Hukum Tajwid adalah Fardhu Ain. Membaca al-Quran tanpa mengambil kira Hukum Tajwid adalah satu pencemaran dan penghinaan terhadap Kitab Suci al-Quran . Dalam Islam , sebarang bentuk pencemaran dan penghinaan terhadap al- Quran hukumnya haram jika disengajakan , lebih-lebih lagi pencemaran pada lafaz al-Quran kerana ianya boleh membawa kepada kekufuran .Di maktab perguruan , Pendidikan Islam adalah mata pelajaran yang wajib diambil dan diwajibkan lulus . Sukatan Pelajaran Pendidikan Islam didahulukan dengan Pendidikan al-Quran yang meliputi Surah al-Kahfi , Surah Qaf , Surah ad-Dukhan , Surah al-Waqi’ah , Surah al-Mulk , Surah al-Muzammil dan Surah al-Hasyr ( BPG, 1993 ). Mulai tahun 1996 , Sukatan Pelajaran Pendidikan Islam telah diubah untuk memberi penekanan kepada pembacaan al-Quran secara Qiraati . (BPG ,1996)

Pengubahsuaian sukatan pelajaran ini dilakukan kerana didapati tahap penguasaan bacaan al-Quran di kalangan guru pelatih amat mendukacitakan sehingga memerlukan pelajaran yang asas dalam pembacaan al-Quran ( Qiraati ) . Pengubahsuaian ini selaras dengan objektif Pendidikan Islam maktab perguruan yang berbunyi , " Sukatan Pelajaran Dinamika Guru Pendidikan Islam merupakan satu usaha yang berterusan dalam menyampaikan ilmu , membentuk kemahiran dan memupuk budaya al-Quran dan penghayatan Islam berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah . Ia bertujuan untuk melahirkan insan yang berilmu , berkeperibadian mulia , berkemahiran dan bersikap positif untuk membangun diri , masyarakat ,alam sekitar dan agama ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan di akhirat ." ( BPG , 1996 : 1 )

Melalui interaksi kuliah Dinamika Guru Pendidikan Islam , pengkaji mendapati ramai guru pelatih Semester Satu ( KDPM ) yang tidak boleh membaca al-Quran dengan baik . Ini menyebabkan pelatih-pelatih kurang berminat mengikuti kuliah Dinamika Guru Pendidikan Islam Setengah-setengah pelatih pula merasa rendah diri dan terpinggir . Apa yang lebih membimbangkan ialah keadaan akan bertambah buruk sekiranya masalah ini dibiarkan berpanjangan tanpa sebarang usaha untuk memperbaikinya samada daripada diri pelatih itu sendiri atau pihak-pihak yang terbabit. Sebagai langkah awal untuk mengatasi masalah tersebut , satu kajian empirikal untuk mengumpul data persepsi guru pelatih terhadap tahap penguasaan bacaan al-Quran dijalankan . Adalah menjadi harapan pengkaji agar kajian yang bertujuan meninjau penguasaan bacaan al-Quran di kalangan guru pelatih Islam Institut Perguruan Darulaman ini dapat membekalkan maklumat berguna kepada pensyarah berkenaan dalam usaha mengatasi masalah penguasaan bacaan al-Quran . Dapatan kajian juga diharap dapat menyedarkan guru pelatih tentang kelemahan mereka dalam membaca ayat-ayat al-Quran dan seterusnya meningkatkan keupayaan mereka ke tahap yang lebih baik dan sempurna .

Soalan kajian

  • Kajian ini dijalankan untuk menjawab persoalan-persoalan berikut :

  •  
  • 1.Apakah latar belakang guru pelatih berkaitan dengan pembelajaran al-Quran ?

  •  

     

    2.Apakah persepsi guru pelatih terhadap keupayaan diri dalam menguasai kemahiran asas membaca al-Quran ?

    3.Apakah persepsi guru pelatih terhadap tahap kebolehan diri membaca dengan betul beberapa Ayat Lazim atau Surah yang pendek mengikut Hukum Tajwid ?

    4.Adakah wujudnya perbezaan dari segi tahap penguasaan bacaan al-Quran di kalangan guru pelatih daripada aspek:
     

      • Jantina
      • kelulusan akademik
      • pencapaian mata pelajaran Pendidikan Agama Islam dalam SPM dan
      • pengkhususan
    Definisi istilah
     

    Penguasaan Bacaan al-Quran

    Kebolehan membaca al-Quran mengikut cara yang betul dari segi sebutan ( Fasahah ) mengikut Makharijil-Huruf dan Hukum Tajwid .
     

    Tahap penguasaan bacaan al-Quran yang rendah

    Sekadar boleh membaca beberapa ayat al- Quran yang pendek ( Ayat Lazim ) tanpa mematuhi peraturan yang betul dari segi sebutan ( Fasahah ) dan Hukum Tajwid .
     

    Tahap penguasaan bacaan al-Quran yang sederhana

    Hanya boleh membaca beberapa ayat tertentu ( khasnya Ayat Lazim ) mengikut cara yang betul dari segi sebutan ( Fasahah ) dan Hukum Tajwid.

    Tahap penguasaan bacaan al-Quran yang tinggi

    Boleh membaca ayat-ayat al-Quran dengan baik mengikut cara yang betul dari segi sebutan Makharijil-Huruf ( Fasahah ) dan Hukum Tajwid .

     Batasan kajian

    Sifat Pendidikan Islam
    Sukatan pelajaran Pendidikan Islam
    Sukatan Pelajaran Dinamika Guru Pendidikan Islam memperlihatkan satu usaha yang berterusan dalam menyampaikan ilmu , membentuk kemahiran dan memupuk penghayatan Islam berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah . Ia bertujuan untuk melahirkan insan yang berilmu , berperibadi mulia , berkemahiran dan bersikap proaktif untuk membangun diri , masyarakat , alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat . Tujuan ini sesuai dengan kehendak Bahagian Pendidikan Guru yang ingin melahirkan insan guru yang berakhlak mulia , berpandangan progresif dan saintifik , bersedia menjunjung aspirasi budaya dan negara untuk menjamin perkembangan individu dan memelihara masyarakat yang bersatupadu , demokratik , progresif dan berdisiplin .

     Sukatan Pelajaran Asas Dinamika Guru Pendidikan Islam DPM digubal untuk melahirkan insan guru yang berkelibar dalam semua aspek ; sahsiah , ilmu pengetahuan dan nilai kerohanian yang positif selaras dengan Falsafah Pendidikan Islam . Setelah mengikuti program ini , guru lulusan Kursus Diploma Perguruan Malaysia ( KDPM ) diharap mempunyai pengetahuan asas mengenai Islam secara teoris dan praktis serta menghayati " Amar Maaruf dan Nahi Mungkar " dan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Mereka diharapkan menjadi model yang baik kepada murid dan masyarakat , juga di samping melaksanakan tanggungjawab sebagai Khalifah Allah serta menyumbangkan bakti kepada negara . Selain itu , pelajaran Pendidikan Islam mempunyai matlamat khusus iaitu selepas mengikuti kursus ini pelatih dapat mengetahui , memahami dan membaca Ayat al-Quran dengan betul dan mengamalkan pengajaran daripada Ayat yang dibaca . ( BPG , 1996 )

    METOD

     Sampel kajian

    Sampel kajian terdiri daripada guru pelatih Semester Satu ( KDPM ) ambilan Jun 1997 daripada pelbagai pengkhususan kecuali pengkhususan Pengajian Islam . Seramai 80 orang guru pelatih ( 41 orang lelaki dan 39 orang perempuan ) dipilih secara rawak daripada pelbagai pengkhususan untuk menjawab soal selidik .Butiran sampel boleh didapati dalam Jadual ( 1 ) .
    Jadual (1) :Taburan Sampel Kajian mengikut Pengkhususan dan Jantina.
     Pengkhususan Lelaki Perempuan Jumlah Peratus
    MT/SN 1

    MT/SN 2

    MT/PJK

    SN/KH

    PRA/PM

    SN/KT

    MT/KH

    PM/PS

    6

    5

    5

    5

    5

    5

    5

    5

    4

    5

    5

    5

    5

    5

    5

    5

    10

    10

    10

    10

    10

    10

    10

    10

    12.5

    12.5

    12.5

    12.5

    12.5

    12.5

    12.5

    12.5

    JUMLAH

     

    41 39 80  100

     

     Instrumen kajian

    Instrumen kajian terdiri daripada soal selidik yang dibina oleh pengkaji sendiri dan dimurnikan oleh seorang pensyarah yang berpengalaman dalam pembinaan soal selidik .Soal selidik mengandungi 28 item . Item-item dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Bahagian A , B dan C . Bahagian A bertujuan mengumpul maklumat tentang latar belakang guru pelatih dalam pembelajaran al-Quran . Manakala Bahagian B pula berbentuk Skala Likert yang terdiri daripada 5 peringkat . Peringkat 4 dan 5 melambangkan penilaian yang tinggi , 3 bagi melambangkan penilaian sederhana , sementara 2 dan 1 menunjukkan penilaian yang rendah terhadap item-item berkenaan . Manakal Bahagian C merupakan item Ya / Tidak.
     

    Kebolehpercayaan soal selidik telah diuji dan didapati berada di paras yang tinggi ( Alpha = .90) . Soal selidik ditadbirkan oleh pensyarah Jabatan Pendidikan Islam Dan Moral ke atas guru-guru pelatih Islam yang dipilih secara rawak mengikut pengkhususan

    Analisis data
    Data yang dikumpul dikod dan diproses dengan menggunakan perisian komputer SPSS PC+. Untuk Soalan Kajian (1) yang berkaitan dengan latar belakang guru pelatih dalam pembelajaran Al Quran data dianalisis dengan menggunakan peratus kekerapan.. Begitu juga dengan Soalan Kajian (2) dan (3) yang meninjau persepsi guru pelatih terhadap keupayaan diri dalam menguasai kemahiran asas membaca al-Quran dan kebolehan membaca dengan betul beberapa Ayat Lazim atau Surah pendek mengikut Hukum Tajwid. Manakala untuk Soalan Kajian (4) yang menguji sama ada wujudnya perbezaan signifikan tahap penguasaan bacaan al-Quran dari aspek (i) jantina (ii) kelulusan akademik (iii) pencapaian mata pelajaran Pendidikan Agama Islam dalam SPM dan (iv) pengkhususan ujian-t dan ujian Khi Kuasa Dua digunakan.


    KEPUTUSAN KAJIAN

    Latar belakang guru pelatih berkaitan dengan pembelajaran al-Quran

    Berdasarkan Jadual ( 2 ) , guru pelatih yang mempunyai kelulusan SPM ialah 63.8 % . Ini menunjukkan jumlah kelulusan SPM lebih ramai daripada kelulusan STPM . Bagi kelulusan mata pelajaran Pendidikan Islam peringkat SPM , pelatih yang memperoleh kepujian mencapai 93.7 % . Ini menunjukkan bahawa pencapaian di peringkat SPM bagi mata pelajaran Pendidikan Islam adalah tinggi di kalangan guru pelatih .

     Ditinjau dari sudut usia mula mempelajari al-Quran , didapati 66.2 % adalah pada umur 6 - 10 tahun . Jumlah pelatih yang memiliki Kitab al- Quran ialah sebanyak 63.8 % . Dapatan juga menunjukkan 85 % daripada mereka pernah mendapat pendedahan Ilmu Tajwid . Kajian ini juga mendapati bahawa 87.5 % daripada mereka mempelajari Ilmu Tajwid secara sambilan sahaja .

     Dari segi tempat mempelajari Ilmu Tajwid , didapati 2.5 % mempelajarinya di sekolah-sekolah pondok , 26.2 % mempelajari di sekolah-sekolah agama , 32.5 % belajar di rumah Tok Guru dan 38.8 % mempelajarinya di tempat selain yang dinyatakan di atas seperti di rumah sendiri atau di sekolah rendah .

     Kajian ini menunjukkan peratus yang paling besar bagi mereka yang mempelajari al- Quran di tempat lain termasuk rumah sendiri . Mempelajari al-Quran di rumah Tok Guru mendapat peratus yang kedua terbesar jumlahnya .

     Hasil kajian menunjukkan , 62.5 % guru pelatih membaca al-Quran sekali sekala sahaja . Ini jelas menunjukkan bahawa kebanyakan guru pelatih tidak menjadikan membaca al-Quran amalan hidup seharian mereka

    Jadual ( 2 ) : Latar belakang guru pelatih berkaitan dengan pembelajaran al-Quran.



     
     
     

      PERKARA

     

    KEKERAPAN PERATUS
    Kelulusan SPM

    STPM

     

    51

    29

    63.8

    36.8

    Kelulusan Mata Pelajaran Pendidikan Islam Peringkat SPM

    1 - 2

    3 - 6

    7 - 8


     
     

    34

    41

    4

    1


     
     

    42.5

    51.3

    5.0

    1.3

    Mula mempelajari al-Quran

    1 - 5 tahun

    6 - 10 tahun

    11 - 15 tahun

    20

    53

    7

    25.0

    66.3

    8.8

    Memiliki al-Quran sendiri

    Ya

    Tidak 

    51

    29

    63.8

    36.5

    Pernah mempelajari Ilmu Tajwid

    Ya

    Tidak

    68

    12

    85.0

    15.0

    Jika Ya , Cara Mempelajarinya

    Sepenuh masa

    Sekali sekala

    10

    70

    12.5

    87.5

    Tempat Mempelajari Ilmu Tajwid

    Sekolah Pondok

    Sekolah Agama

    Rumah Tok Guru

    Lain-lain

    2

    21

    26

    31

    2.5

    26.3

    32.5

    38.8 

    Kekerapan Membaca al-Quran

    Kerapkali

    Sekali Sekala

    Jarang Sekali

    Tidak Pernah

    18

    50

    11

    1

    22.5

    62.5

    13.8 

    1.3 

    Persepsi guru pelatih Islam terhadap keupayaan diri dalam membaca al-Quran :

     Berdasarkan Jadual ( 3 ) , 56.3% guru pelatih menganggap kebolehannya mengenali Huruf Hijaiyah adalah baik, 28.8 % sederhana , manakala 15.1 % adalah lemah . Walaupun begitu terdapat perbezaan kebolehan dalam menyebut Huruf Hijaiyah dengan betul (43.8% baik, 32.5 % sederhana, 23.8 % lemah) .

    Berdasarkan kajian, hanya 36.3% daripada mereka beranggapan berkebolehan menyebut Kalimah al-Quran dengan baik. Sehubungan dengan itu , mereka agak sukar menyebut Kalimah al-Quran yang bersambung iaitu 28.8 % sahaja yang boleh menguasai sebutan berkenaan . Dapatan kajian juga menunjukkan 36.3 % sahaja yang boleh mengenal tanda dengan baik, manakala 22.5 % tidak berkeupayaan mengenal tanda-tanda bacaan dengan betul . Berhubung dengan pengetahuan pelatih terhadap Hukum Tajwid , hanya 16.3 % sahaja yang tahu tentang Hukum Tajwid .

     Kajian juga menunjukkan bahawa 13.8 % sahaja yang mampu mengaplikasikan pengetahuan Ilmu Tajwid dalam bacaan al-Quran . Ditinjau dari aspek pengetahuan tentang lagu dan suara dalam pembacaan al-Quran , didapati hanya 5 % sahaja guru pelatih yang mempunyai pengetahuan asas dan berkemampuan dalam bidang tersebut . Ini dibuktikan dengan dapatan bahawa hanya 6.3 % daripada responden yang boleh membaca al-Quran dengan berlagu. Secara purata 34.54 % guru pelatih menganggap kebolehan membaca al-Qurannya berada pada tahap yang lemah, 37.51 % sederhana, manakala 27.05 % baik. Walaupun dapatan-dapatan di atas menunjukkan pelatih kurang menguasai Hukum Tajwid , tanda-tanda bacaan dan sebutan kalimah bersambung , tetapi pada keseluruhannya mereka mempunyai keyakinan membaca Surah al-Fatihah dengan betul . Kajian menunjukkan 75 % daripada mereka beranggapan demikian. Namun begitu , kumpulan ini kurang berkeyakinan untuk tampil ke hadapan membaca Ayat-ayat Suci al-Quran dalam suasana yang lebih terbuka . Hal ini dibuktikan dengan jelas apabila kajian mendapati 81.3 % pelatih tidak pernah membaca al-Quran dalam sebarang majlis tertentu , samada secara formal atau tidak formal .

     Jadual ( 3 ) : Persepsi Guru Pelatih Islam Terhadap Keupayaan Diri Dalam

    Membaca Al-Quran



     
     
     

     Bil PERKARA
    %

    Lemah LLLemah Lemah

    %

    Sederhana

    %

    Baik

    Baik

    1. Kebolehan Mengenal Huruf Hijaiyah 15.1 28.8 56.3
    2. Kebolehan Menyebut Huruf Hijaiyah Mengikut Makhraj Yang Betul 23.8 32.5 43.8
    3. Kebolehan Menyebut Kalimah Al-Quran 11.3 52.5 36.3
    4. Kebolehan Menyebut Kalimah Al-Quran Yang Bersambung.

     

    18.8 52.5 28.8
    5. Keupayaan Mengenal Tanda-tanda Bacaan

    Yang Terdapat Dalam Al-Quran

    22.5 41.3 36.3
    6. Keupayaan Membaca Al-Quran Dengan Betul 30 42.5 27.6
    7. Pengetahuan Tentang Hukum Tajwid 46.3 37.5 16.3
    8. Kebolehan Membaca Al-Quran Mengikut

    Hukum Tajwid Yang Betul

    46.3 40.0 13.8
    9. Pengetahuan Lagu Dan Suara Dalam Pembacaan Al- Quran 67.5 27.5 5.0
    10. Kebolehan Membaca Al-Quran Dengan Berlagu 63.8 20.0 6.3
    PURATA KESELURUHAN 34.54 3434.54 37.51 27.05
     
    PERKARA
      Ya Tidak
    11. Yakin Bacaan Surah Al-Fatihah Adalah Betul   75.0 25.0
    13.

     

    Pernah Mengajar Orang Lain Membaca Al-Quran

     


     
     

     

    35.0 65.0

     

    Persepsi guru pelatih Islam terhadap tahap kebolehan diri menghafaz Ayat-Ayat Lazim dan Surah-Surah panjang

     Kebanyakan responden hanya boleh menghafaz satu Surah hingga lima Surah sahaja . Dapatan kajian menunjukkan 50 % dari kalangan responden beranggapan demikian . ( Sila rujuk Jadual 4).Selain daripada itu, dapatan kajian juga menunjukkan 2.5 % sahaja daripada guru pelatih terbabit yang berkeupayaan menghafaz Surah Yaasin secara keseluruhannya .
    Jadual ( 4 ) : Persepsi guru pelatih Islam terhadap tahap kebolehan diri

    menghafaz ayat- ayat Lazim dan Surah-surah panjang.



     
     
     

     Bil PERKARA KEKERAPAN PERATUS
    1. Boleh Menghafaz Surah-surah Lazim Yang Pendek

    1 - 5 Surah

    6 - 10 Surah

    11- 15 Surah

    16- 20 Surah 


     
     

    40

    33

    6

    1


     
     

    50

    41.3

    7.5

    1.3

    2. Boleh Menghafaz Surah Yaasin

    Keseluruhan

    Sebahagian

    Sedikit Sahaja

     

    2

    13

    65

    2.5

    16.3

    81.3

    Secara keseluruhan adalah diperhatikan tahap kebolehan membaca al-Quran di kalangan guru pelatih untuk aspek-aspek tertentu adalah memuaskan. Contohnya kebolehan mengenal Huruf Hijaiyah dan menyebut huruf tersebut mengikut Makhraj, manakala kebolehan membaca al-Quran untuk aspek-aspek yang lain seperti kebolehan membaca al-Quran mengikut Hukum Tajwid yang betul, pengetahuan tentang lagu dan suara dalam pembacaan al-Quran dan kebolehan membaca al-Quran dengan berlagu didapati pada tahap yang lemah. Begitu juga kebolehan menghafaz ayat-ayat Lazim dan Surah-surah panjang. Sementara itu ramai yang yakin boleh membaca surah al-Fatihah dengan betul. Bagaimanapun hanya segelintir guru pelatih yang pernah membaca al-Quran dalam majlis tertentu dan mengajar orang lain belajar al-Quran.

    Ringkasnya, guru pelatih didapati hanya menguasai kemahiran-kemahiran atau pengetahuan yang rendah dalam membaca al-Quran. Kebolehan yang tinggi dan lebih mencabar masih berada di tahap yang sederhana atau lemah

     Perbandingan tahap penguasaan bacaan al-Quran dari aspek jantina
     Jadual ( 5 ): Ujian - t TahapPenguasaan Bacaan Al-Quran

    Mengikut Jantina .(N=80)

     JANTINA

     

    Bil Min S.P df Nilai – t Keb.

     

    Lelaki 41 1.80 0.78 78 - 2.13 0.036**
    Perempuan 39 2.18 0.79      
    k<.05**

     Berdasarkan Jadual ( 5 ) , didapati guru pelatih perempuan mempunyai tahap pengua-saan membaca al-Quran yang lebih tinggi ( min = 2.18 ) berbanding guru pelatih lelaki ( min = 1.80 ) . Keputusan Ujian – t membuktikan wujudnya perbezaan signifikan di antara kedua-dua min tersebut ( t = - 2.13 , k< . 05 ) . Ini menunjukkan , guru pelatih perempuan mempunyai kemahiran membaca al-Quran yang lebih baik daripada guru pelatih lelaki .

     Perbandingan tahap penguasaan bacaan al-Quran dari aspek kelayakan akademik :

    Jadual ( 6 ) : Ujian – t Tahap penguasaan al-Quran Mengikut Kelayakan Akademik

    (N=80)



     
     
     

     Kelayakan Bil Min S.P df Nilai – t Keb.
    SPM 51 1.9412 .785 78 - 0.69 . 507
    STPM 29 2.0690 . 842      
    k<.05
    Guru pelatih yang berkelayakan akademik STPM didapati menunjukkan tahap penguasaan membaca al-Quran yang tinggi (min = 2.0690 ) berbanding dengan mereka yang memiliki SPM ( min = 1.9412 ) . Namun , Ujian – t yang dijalankan menunjukkan perbezaan antara kedua-dua min tersebut adalah tidak signifikan ( t = -0.69 , k = .507 ) . Ini bererti tidak wujud sebarang perbezaan dari segi tahap penguasaan bacaan al-Quran di kalangan guru pelatih yang berkelayakan SPM dan STPM .
    Perbandingan tahap penguasaan bacaan al-Quran dari aspek pencapaian mata pelajaran Pendidikan Agama Islam dalam SPM
    Jadual ( 7 ) :Tahap Penguasaan Bacaan Al-Quran mengikut Gred Mata Pelajaran

    Pendidikan Agama Islam dalam SPM.



     
     
     

     Gred/Tahap

    Penguasaan

    1 – 2 3 – 6 7 – 8 9 JUMLAH
    Rendah 8 18 0 0 26
    Sederhana 14 11 4 0 29
    Tinggi

     

    12 12 0 1 25
    34 41 4 1 80

     
    Tahap penguasaan bacaan al-Quran mengikut gred mata pelajaran Pendidikan Agama Islam dalam SPM ditunjukkan dalam Jadual ( 7 ) . Analisis Khi. Kuasa Dua mendapati wujudnya perbezaan signifikan tahap penguasaan bacaan al-Quran mengikut gred mata pelajaran Pendidikan Agama Islam SPM (l = 13.8 , df = 6, p< .05 ) . Ini bererti wujudnya perbezaan signifikan tahap penguasaan bacaan al-Quran mengikut pencapaian gred pencapaian Pendidikan Islam SPM .


    Perbandingan tahap penguasaan bacaan al-Quran dari aspek pengkhususan

    Jadual ( 8 ) : Tahap Penguasaan Bacaan Al-Quran Mengikut Pengkhususan



     
     
     

     P’khususan/

    T.Penguasaan

    MTSN MTKH MTPJK SNKH PRAPM SNKT PMPS Jum
    Rendah 6 3 3 5 4 2 3 26
    Sederhana 9 4 3 3 3 2 5 29
    Tinggi 5 3 4 2 3 6 2 25
    Jumlah 20 6 6 10 10 10 10 80

     
    Jadual ( 8 ) menunjukkan tahap penguasaan bacaan al-Quran mengikut pengkhususan . Analisis Khi. Kuasa Dua mendapati tidak wujud perbezaan signifikan tahap penguasaan bacaan al-Quran mengikut pengkhususan ( l= 7.69 , df = 12 , p = 0.81 ). Ini bererti tidak ada perbezaan signifikan tahap penguasaan bacaan al-Quran di kalangan guru pelatih mengikut pengkhususan .


    PERBINCANGAN




    Tahap kebolehan membaca al-Quran

     Dapatan kajian menunjukkan guru pelatih hanya menguasai kemahiran atau pengetahuan yang rendah dalam membaca al-Quran. Mereka didapati kurang menguasai kemahiran atau pengetahuan yang lebih tinggi dan mencabar. Contohnya, ilmu tajwid dan tanda-tanda bacaan, menghafaz ayat-ayat al-Quran dan membaca al-Quran di khalayak ramai. Masalah-masalah tersebut boleh dikaitkan dengan faktor-faktor berikut :-
      Sebahagian besar guru pelatih mendapat pendedahan awal pembelajaran membaca al-Quran daripada pembimbing yang tidak bertauliah. Ramai dibimbing oleh tok-tok guru dan ibu bapa sendiri yang tidak dilatih khas untuk membimbing membaca al-Quran. Ini bererti guru pelatih tersebut tidak dibimbing secara teratur ketika mula belajar membaca al-Quran. Ini mengakibatkan tahap kebolehan membaca al-Quran yang rendah di kalangan guru pelatih tersebut.
    1.  Di sekolah rendah, Pendidikan Agama diperuntukkan 180 ninit seminggu. Sementara sukatan pelajarannya adalah luas. Ia termasuk aspek Tilawah Quran(bacaan, hafazan dan tafsir), asas Ulumul Syariah( ibadah, akidah dan sirah), asas Akhlak Islamiyah dan amali. Di samping itu, guru pendidikan Islam dikehendaki menyempurnakan Perkara Asas Fardhu Ain(PAFA) dalam waktu yang sama. Memandangkan sukatan Pendidikan Agama adalah berat dan pelbagai, peruntukan masa 180 minit seminggu sudah tentu tidak memungkinkan pembelajaran membaca al-Quran disempurnakan sepenuhnya.
    1. Walaupun dapatan kajian menunjukkan kebanyakan respoden pernah mendapat pendedahan Ilmu Tajwid tetapi ianya hanya berlaku secara tidak sengaja. Akibatnya tidak ramai di kalangan mereka yang benar-benar menguasai Ilmu Tajwid. Malah ada yang langsung tidak tahu hukum-hukum asas yang terdapat dalam Ilmu Tajwid, apatah lagi mengaplikasikannya dalam bacaan al-Quran. Keadaan ini berpunca dari kurangnya penekanan terhadap Ilmu Tajwid semasa mereka belajar membaca al-Quran. Pembelajaran dan pengajaran yang tidak sistematik turut menjadi punca . Keadaan ini menjadi bertambah parah apabila dalam pendidikan Islam di sekolah, Ilmu Tajwid hanya disampaikan melalui penggabungjalinan
    2. kemahiran Tilawah al-Quran sahaja. Peruntukan masa khas untuk Ilmu Tajwid tidak disediakan. Ia lebih banyak bergantung kepada budi bicara guru Pendidikan Islam sendiri. Adalah malang bagi ibu bapa yang beranggapan Pendidikan Islam di sekolah sudah membebaskan mereka dari tanggungjawab memberi ilmu kepada anak-anak mereka khususnya yang berkaitan dengan ilmu Fardhu Ain, termasuk Ilmu Tajwid.
    Perbandingan tahap kebolehan membaca al-Quran berdasarkan beberapa aspek tertentu
    Perbandingan tahap kebolehan membaca al-Quran di kalangan guru pelatih berdasarkan aspek (i) Jantina , (ii) Kelayakan akademik , (iii)Pencapaian Mata Pelajaran Agama Islam dalam SPM dan (iv)Pengkhususan , mendapati tidak wujud perbezaan signifikan kecuali aspek jantina dan pencapaian mata pelajaran Agama Islam dalam SPM. Ujian –t yang dikendalikan menunjukkan guru pelatih perempuan mempunyai tahap kebolehan membaca al-Quran yang lebih tinggi daripada guru pelatih lelaki . Ini selaras dengan dapatan kajian yang dijalankan oleh Razali Ismail (1996). Sementara ujian khi kuasa Dua mendapati guru pelatih yang berpencapaian tinggi dalam mata pelajaran Agama Islam lebih tinggi tahap kebolehan membaca al-Quran daripada mereka yang berpencapaian rendah dalam mata pelajaran Agama Islam SPM.

     Perbezaan tahap kebolehan membaca al-Quran antara guru pelatih perempuan dan lelaki kemungkinan besar disebabkan oleh sikap mereka terhadap kewajipan mempelajari membaca al-Quran. Guru Pelatih perempuan lebih tekun dan sabar manakala guru pelatih lelaki cenderung bersikap sambil lewa.

    Perbezaan tahap kebolehan membaca al-Quran antara guru pelatih yang berpencapaian tinggi dan berpencapaian rendah dalam keputusan mata pelajaran Agama Islam SPM boleh dikaitkan dengan perbezaan tahap pengetahuan al-Quran di kalangan guru pelatih tersebut.
     

    CADANGAN

    Berdasarkan dapatan kajian, beberapa cadangan dikemukakan untuk meningkatkan tahap kebolehan membaca al-Quran di kalangan guru pelatih.

    KESIMPULAN
    Secara keseluruhan , kajian ini bertujuan untuk meninjau tahap kebolehan membaca al-Quran

    di kalangan guru pelatih Kursus Diploma Perguruan Malaysia yang bukan pengkhususan Pendidikan Islam Institut Perguruan Darulaman . Dapatan kajian menunjukkan tahap kebolehan membaca al-Quran guru pelatih tersebut agak rendah khasnya aspek pembacaan al-Quran yang lebih mencabar yang memerlukan kemahiran yang lebih tinggi . Juga didapati wujudnya perbezaan signifikan tahap kebolehan membaca al-Quran di kalangan guru pelatih perempuan dan lelaki. Beberapa cadangan dikemukkan untuk pihak berkenaan meningkatkan tahap kebolehan membaca al-Quran di kalangan guru pelatih.
     

    RUJUKAN
    Al-Quranul Karim
    Bahagian Pendidikan Guru (1996) , Sukatan Pelajaran Diploma Pendidikan Malaysia , Kementerian Pendidikan malaysia , Kuala Lumpur.
     Hajah Wan Rahimah binti Othman (1990), Pencapaian pendidikan Islam di kalangan guru pelatih Islam , Jurnal Akademik , Jilid 2 .
     Jamaluddin Haji Ridzwan (1995) , Penyelidikan Penguasaan Ilmu Tajwid Di Kalangan guru-guru Pendidikan Islam, Laporan Penyelidikan Maktab Perguruan Islam Bangi , Selangor.
    Kementerian Pendidikan Malaysia ( 1997 ) , Sukatan pelajaran Pendidikan Islam di sekolah rendah kerajaan , Dewan bahasa dan Pustaka , Kuala Lumpur .
    Mohd Yassin bin Haji Sulaiman (1995) , Menjadikan Pendidikan Islam di sekolah rendah lebih bermakna , Laporan Penyelidikan Maktab Perguruan Islam Bangi ,Selangor .

    Razali bin Ismail (1991) , Kemahiran Tajwid , Jurnal Wacana Pendidikan Islam 97, Maktab Perguruan Pasir Panjang , Kuala Terengganu.

    IPDA Research