Make your own free website on Tripod.com

MASALAH PENULISAN JURNAL GURU PELATIH

SEMASA PRAKTIKUM


Mohd.Johan b. Zakaria

Othman b. Zakaria

Jabatan Sains dan Matematik



 

Abstrak

Kajian yang dijalankan ini adalah bertujuan untuk meninjau masalah dalam penulisan jurnal yang meliputi aspek (I) menentu/memilih masalah, (ii)merancang langkah,(iii) melaksana langkah dan (iv)membuat refleksi. Dengan menggunakan kaedah soal selidik sebagai alat kajian, seramai 198 orang guru pelatih yang sedang menjalani praktikum II Kursus Perguruan Asas telah dipilih bagi mendapatkan data yang berkaitan dengan kajian ini. Daripada analisis data, dapatan kajian menunjukkan guru pelatih menghadapi masalah untuk mendapatkan bimbingan dan nasihat daripada guru pendamping dan pensyarah pembimbing. Guru pelatih juga didapati kurang bersedia untuk berbincang dengan guru pendamping. Tahap masalah penulisan jurnal menunjukkan perbezaan yang signifikan di antara guru pelatih Pengajian Agama dan Pengajian Matematik.

 

Pengenalan

Dalam konteks latihan perguruan, penulisan jurnal merupakan sebahagian daripada tugas guru pelatih semasa menjalani praktikum. (Bahagian Pendidikan Guru,1996). Mereka dikehendaki menulis sekurang-kurangnya satu jurnal setiap minggu sepanjang tempoh praktikum. Jurnal yang dihasilkan haruslah meliputi lima perkara iaitu: (I) pengenalpastian masalah (ii) analisis masalah (iii) cadangan untuk mengatasi masalah (iv) tempoh penyelesaian masalah dan (v) tindak susulan. Manakala tumpuan masalah pula hendaklah masalah berkaitan dengan pengajaran pembelajaran serta masalah interaksi guru pelatih dengan murid dan guru lain termasuk pengurus sekolah. Sesungguhnya penulisan jurnal merupakan satu strategi untuk melatih guru pelatih mengenal pasti dan mengatasi masalah secara sistematik di samping membuat refleksi ke atas amalan pengajaran pembelajaran. Catatan-catatan tersebut boleh dijadikan kes-kes rujukan semasa mereka bertugas sebagai guru terlatih kelak. Jelas di sini, penulisan jurnal jika dihayati sepenuhnya akan membawa faedah besar kepada guru pelatih.

Pernyataan masalah

Penuliasan jurnal merupakan satu tugasan baru kepada guru pelatih yang perlu disempurnakan semasa menjalani praktikum. Tugasan baru ini memerlukan bimbingan daripada orang yang lebih berpengalaman khasnya pensyarah pembimbing dan guru pendamping. Disebabkan bilangan kunjungan pensyarah pembimbing ke sekolah adalah terhad, maka tugas membimbing guru pelatih termasuk penulisan jurnal sebahagian besarnya terpaksa dipikul oleh guru pendamping. Menurut Deas et al (1991), guru pelatih yang menjalani praktikum sering mengalami tekanan dan pengasingan kerana sukar bekerjasama dengan guru yang dilantik untuk membimbing mereka. Mereka juga menghadapi masalah menyesuaikan diri dengan guru pendamping (Ng et al, 1994). Berdasarkan pemerhatian pengkaji ini, ramai guru pendamping kurang mahir dalam soal penulisan jurnal. Ada pula menganggap penulisan jurnal perkara remeh-temeh yang tidak perlu dititikberatkan dalam bimbingan praktikum. Situasi-situasi tersebut memberi implikasi bahawa guru pelatih tidak diberi bimbingan yang sempurna dalam penulisan jurnal dan berkemungkinan menghadapi masalah dalam penulisan junal. Apakah masalah-masalah guru pelatih dalam penulisan jurnal semasa praktikum? Adakah wujudnya perbezaan tahap masalah penulisan jurnal yang dihadapi di kalangan guru pelatih?

Soalan kajian

Kajian ini bertujuan untuk meninjau soalan seperti berikut:
  •  Apakah masalah utama yang dihadapi oleh guru pelatih dalam penulisan jurnal semasa menjalani praktikum daripada aspek berikut:
  • mengenal pasti masalah yang hendak diatasi.
  • merancang langkah-langkah untuk mengatasi masalah
  • melaksana langkah-langkah yang sudah ditentukan dan
  • membuat reffleksi.
  • Adakah wujudnya perbezaan signifikan tahap masalah penulisan jurnal di kalangan guru pelatih daripada aspek-aspek berikut:
    • umur
    • pengkhususan
    • jantina dan
    • kelayakan akademik

Batasan kajian

Kajian ini hanya meliputi masalah dalam penulisan jurnal bagi guru pelatih Kursus Perguruan Asas yang sedang menjalani Praktikum II bagi Institut Perguruan Darulaman. Hanya soal selidik digunakan untuk memungut data daripada responden. Dapatan kajian ini hanya benar bagi responden kajian ini sahaja.

Kepentingan kajian

Memandangkan pentingnya penulisan jurnal kepada guru pelatih, sewajarnya langkah-langkah untuk mengenal pasti masalah dalam penulisan jurnal ini dijalankan. Dengan adanya maklumat-maklumat ini dapatlah dikena lpasti masalah sebenar dalam penulisan jurnal. Justru itu adalah diharapkan dapatan kajian ini akan dapat membantu pensyarah pembimbing mengenal pasti aspek-aspek penting yang sering diabaikan ketika mereka membuat penyeliaan praktikum. Di samping itu pensyarah juga dapat merancang dan mengambil tindakan susulan untuk membantu guru pelatih meningkatkan lagi mutu pengajaran dan pembelajaran.

Menerusi kajian ini, pihak Institut Perguruan Darulaman dapat menentukan samada tugasan penulisan jurnal semasa praktikum Kursus Perguruan Asas dapat dimanfaatkan oleh guru pelatih bagi menghadapi pelbagai masalah semasa praktikum. Dapatan kajian ini akan memberi maklum balas mengenai masalah yang dihadapi oleh guru pelatih dalam menulis jurnal. Maklumat ini boleh membantu Jawatankuasa Praktikum Institut Perguruan Darulaman bagi merancang dan membuat perubahan bagi meningkatkan lagi kualiti bimbingan yang diberikan kepada guru pelatih.
 
 

Dapatan kajian ini juga diharapkan dapat memberi maklumat-maklumat mengenai mutu bimbingan yang diterima oleh guru pelatih dari pihak sekolah dan pensyarah pembimbing semasa mereka membuat penulisan jurnal. Selain itu, ia juga memberi maklumbalas terhadap sikap dan usaha guru pelatih dalam mengatasi sesuatu masalah semasa praktikum.

METOD


Responden kajian terdiri daripada 198 orang guru pelatih yang sedang menjalani Praktikum II Kursus Perguruan Asas di negeri Kedah Darulaman dan Perlis. Pemilihan responden adalah secara rawak purposif dari pelbagai bidang pengkhususan.

Kajian ini dijalankan dengan menggunakan kaedah tinjauan melalui soal selidik. Soal selidik ini dibina sendiri oleh pengkaji berdasarkan pengalaman dan bahan bacaan. Untuk menentukan kesahan muka, seramai tiga orang pensyarah telah diminta untuk menentukan kesesuaian item dari segi isi kandungan, bahasa dan kejelasan item. Begitu juga tiga orang guru pelatih yang sedang menjalani praktikum telah diminta untuk menjawab soal selidik ini bagi menentukan semua item tersebut mudah difahami dan jelas.

Soal selidik ini mengandungi dua bahagian. Bahagian A terdiri daripada empat item yang berkaitan dengan latar belakang responden kajian iaitu jantina, kelayakan akademik tertinggi, umur dan bidang pengkhususan. Bahagian B pula bertujuan mengumpul maklumat mengenai masalah penulisan jurnal semasa guru pelatih menjalani praktikum. Bahagian ini mengandungi 24 item iaitu enam item bagi setiap aspek kajian yang telah ditetapkan. Empat aspek yang dikaji ialah (I) menentu/ memilih masalah,(ii) merancang langkah-langkah mengatasi masalah(iii)melaksana langkah-langkah mengatasi masalah dan (iv) membuat refleksi. Item-item untuk mengukur maklumat mengenai penulisan jurnal ini menggunakan skala Likert 5 mata yang bermula dengan ‘1’ ‘sangat tidak setuju’ hingga ‘ 5’ sangat setuju’.

Soal selidik ditadbirkan oleh pasukan pengkaji semasa guru pelatih datang ke Institut Perguruan Darulaman untuk sesi renungan praktikum. Berdasarkan senarai nama guru pelatih tersebut, soal selidik diedarkan mengikut bidang pengkhususan mereka.

Seterusnya data yang dipungut dikodkan dan diproses dengan menggunakan perisian komputer SPSS PC+. Bagi data latar belakang responden, data dihuraikan secara deskriptif dengan menggunakan kekerapan dan peratus. Bagi mengenal pasti tahap masalah menulis jurnal, pengkaji akan membincangkan dapatan kajian berdasarkan skor min seperti Jadual 1.


 

Jadual 1 : Pemeringkatan Tahap Masalah Berdasarkan

Skor Min



 


Skor Min

Tahap masalah


1.00 - 2.63

Kecil

2.64 - 3.66

Biasa

3.67 - 5.00

Utama

 
Tahap masalah kecil, biasa dan utama dikategorikan berdasarkan skor min yang diperolehi oleh responden terhadap pernyataan dalam soal selidik seperti Jadual 1.
Untuk melihat perbezaan masalah mengikut bidang pengkhususan, umur dan jantina, statistik ANOVA sehala dan ujian-t digunakan. Aras signifikan yang diambil kira ialah pada tahap 0.05

KEPUTUSAN KAJIAN


Jadual 2: Taburan Responden Mengikut Pembolehubah Latar belakang


 

Pembolehubah

Kekerapan

Peratus

Jantina

   

Lelaki

31

15.7

Perempuan

167

84.3

Jumlah

198

100.0

Kelayakan Akademik

   

Sijil Pelajaran Malaysia

70 

35.4

Sijil Tinggi Persekolahan

128

64.6

Jumlah

198

100.0

Umur

   

20 hingga 22 tahun

59

29.8

23 hingga 25 tahun

95

48.0

Melebihi 26 tahun

44

22.2

Jumlah

198

100.0

     

Bidang Pengkhususan

   

Pengajian Melayu

26

13.1

Pengajian Inggeris

25

12.6

Pengajian Agama

29

14.6

Pengajian Sains

27

13.6

Pengajian Sains/Mat

25

12.6

Pengajian Matematik

29

14.6

Pengajian Muzik

20

10.1

Pengajian Cina

17

8.6

Jumlah

198

100.0


 

Latar belakang responden

Maklumat mengenai latar belakang responden adalah seperti Jadual 2.

Jadual 2 menunjukkan sebahagian besar responden (84.3%) terdiri daripada guru pelatih perempuan dan hanya 15.7% responden adalah lelaki. Dari segi kelayakan akademik tertinggi, sebanyak 64.6% responden memiliki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan 35.4% responden mempunyai kelayakan akademik Sijil Pelajaran Malaysia. Hampir separuh responden (48.0%) berumur antara 23 hingga 25 tahun, 29.8% berumur 20 hingga 22 tahun dan hanya 22.2% responden berumur melebihi 26 tahun. Dari segi bidang pengkhususan, bilangan responden yang paling banyak ialah 29 orang dan yang paling kurang adalah 17 orang.

Tahap masalah dalam menulis jurnal mengikut aspek menentu /memilih masalah

Jadual 3 menunjukkan tahap masalah menulis jurnal mengikut aspek menentu /memilih masalah. Berdasarkan jadual 3, didapati tahap masalah menulis jurnal yang dihadapi oleh guru pelatih, merupakan masalah utama, masalah biasa dan masalah kecil.

Item 5 "saya perlu berbincang dengan rakan pelatih untuk menentukan kesesuaian masalah yang hendak diatasi" dan item 4 " bimbingan daripada guru pendamping adalah perlu dalam menentukan keutamaan sesuatu masalah" dikenal pasti sebagai masalah utama dalam menentu/memilih masalah.

Masalah biasa dalam menentu/memilih masalah mengikut turutan min; ialah item 1 " saya merasa sukar untuk memilih satu masalah dalam penulisan jurnal" dan item 2 " saya tidak tahu masalah mana yang perlu diutamakan". Seterusnya item 3 " terlalu banyak masalah yang hendak diselesaikan" dan item 6 " pendedahan mengenai konsep penulisan jurnal tidak diberikan dengan jelas semasa di IPDA"merupakan masalah kecil sahaja.


Jadual 3 : Tahap Masalah Menulis Jurnal Mengikut Aspek

Menentu/Memilih Masalah



 

Bil 

Item

Min

S.Piawai

Masalah

1

Saya merasa sukar untuk memilih satu masalah dalam penulisan jurnal

2.82

0.95

Biasa

2

Saya tidak tahu masalah mana yang perlu diutamakan

2.65

1.02

Biasa

3

Terlalu banyak masalah yang hendak diselesaikan

2.99

1.03

Kecil

4

Bimbingan daripada guru pendamping adalah perlu dalam menentukan keutamaan sesuatu masalah

3.94

0.85

Utama

5

Saya perlu berbincang dengan rakan pelatih untuk menentukan kesesuaian masalah yang hendak diatasi

4.02

0.82

Utama

6

Pendedahan mengenai konsep penulisan jurnal tidak diberikan dengan jelas semasa di IPDA

2.31

1.01

Kecil

Tahap masalah dalam menulis jurnal dari segi merancang langkah-langkah

Jadual 4 menunjukkan tahap masalah menulis jurnal di kalangan guru pelatih dari segi merancang langkah-langkah untuk mengatasi masalah. Berdasarkan jadual tersebut, didapati masalah utama yang dikenal pasti ialah item 8 " perancangan semula adalah perlu bagi menentukan sesuatu masalah dapat diatasi", item 9 "pensyarah pembimbing kurang memberi nasihat dalam merancang langkah-langkah untuk mengatasi masalah yang telah dikenal pasti" dan item 10 " saya rasa keberatan untuk meminta pandangan guru pendamping mengenai langkah-langkah untuk mengatasi masalah". Ini diikuti oleh item 12 " pensyarah pembimbing dan rakan pelatih sering mencapai persetujuan mengenai sesuatu aspek yang hendak dibuat refleksi" merupakan min tertinggi dalam masalah biasa. Seterusnya item 7 (min 3.42) dan item 11 (min 2.90).


 Jadual 4 : Tahap Masalah Menulis Jurnal Dari Segi Merancang

Langkah-Langkah



 

Bil

Item

Min

S.Piawai

Masalah

Saya kurang berkesempatan untuk berbincang dengan rakan pelatih dan guru pendamping apabila saya menghadapi masalah

3.42 

0.99

Biasa

8

Perancangan semula adalah perlu bagi menentukan sesuatu masalah dapat diatasi

4.08

0.60

Utama

9

Pensyarah pembimbing kurang memberi nasihat dalam merancang langkah-langkah untuk mengatasi masalah yang telah dikenalpasti

3.73

1.03

Utama

10

Saya rasa keberatan untuk meminta pandangan guru pendamping mengenai langkah-langkah untuk mengatasi masalah

3.72

1.00

Utama

11

Kesukaran untuk mendapatkan maklumbalas mengenai langlah-langkah yang akan dijalankan merupakan masalah utama saya

2.90

0.97

Biasa

12

Pensyarah pembimbing dan rakan pelatih sering mencapai persetujuan mengenai sesuatu aspek yang hendak dibuat refleksi

3.63

0.89

Biasa


 

Tahap masalah melaksanakan langkah-langkah

Jadual 5 menunjukkan tahap masalah menulis jurnal mengikut aspek melaksanakan langakah-langkah. Berdasarkan jadual tersebut, didapati terdapat satu masalah utama iaitu item 13 " guru pendamping bersedia berbincang dengan saya untuk mengatasi masalah tersebut" .

Untuk masalah biasa, item 17 " saya kurang meminta maklumbalas daripada rakan pelatih tentang pengajaran yang telah dijalankan" memperolehi min tertinggi. Ini diikuti item 16 (min 3.50), item 14 (min 3.46), item 15 (min 3.21) dan item 18 (min 3.13). Masalah tersebut sebahagian besarnya merupakan masalah biasa yang sering berlaku di kalangan guru pelatih dan masih boleh diatasi.


Jadual 5 : Tahap Masalah Menulis Jurnal Mengikut Aspek

Melaksana Langkah-Langkah

Bil.

Item

Min 

S.Piawai

Masalah

13

Guru pendamping bersedia berbincang dengan saya untuk mengatasi masalah tersebut

4.03

0.80

Utama

14

Saya lebih gemar mengatasi masalah berkenaan secara bersendirian

3.46

0.94

Biasa

15

Masa yang banyak diperlukan untuk mengatasi sesuatu masalah

3.21

0.93

Biasa

16

Masalah baru sering timbul walaupun masalah yang dipilih belum boleh diatasi

3.50

1.04

Biasa

17

Saya kurang meminta maklumbalas daripada rakan pelatih tentang pengajaran dijalankan.

3.57

0.89

Biasa

18

Masalah lama belum selesai, dicuba pula masalah lain.

3.13

1.07

Biasa

Tahap masalah menulis jurnal mengikut aspek membuat refleksi

Jadual 6 menunjukkan tahap masalah menulis jurnal mengikut aspek membuat refleksi. Berdasarkan jadual tersebut didapati masalah menulis jurnal yang selalu dihadapi oleh guru pelatih merupakan masalah utama dan juga masalah biasa.

Berdasarkan Jadual 6, item 19 ‘Saya kurang menguasai kemahiran membuat refleksi’, item 21 ‘ Keperluan bimbingan dan nasihat dari guru pendampng menjalankan redfleksi amat penting’ dan item 24 ‘Pensyarah pembimbing banyak membantu saya dalam membuat refleksi’ merupakan masalah utama dalam membuat refleksi.

Masalah biasa dalam membuat refleksi mengikut turutan min iaitu: item 22(min 2.71), item 23 (min 2.58) dan item 20 (min 2.47).
 
 


Jadual 6 Tahap Masalah Menulis Jurnal Mengikut

Aspek Membuat Refleksi

Bil.

Item

Min

S.Piawai

Masalah

19

Saya kurang menguasai kemahiran membuat refleksi


 
 

3.84


 
 

0.96


 
 

Utama

20

Saya kurang jelas tujuan membuat refleks dalam penulisan jurnal

2.47

0.95

Biasa

21

Bimbingan dan nasihat dari guru pendamping

membuat refleksi amat penting.

4.26

0.82

Utama

22 

Segala usaha telah saya cuba tetapi

masalah tersebut tidak dapat diatasi juga

2.71

0.88

Biasa

23

Semasa refleksi, saya sering gagal untuk

Mendapatkan maklumbalas terhadap

aktiviti yang telah dijalankan.

2.54

0.88

Biasa

24

Pensyarah pembimbing banyak membantu saya dalam membuat refleksi

3.92

0.95

Utama


 

Perbandingan perbezaan tahap masalah dalam menulis jurnal mengikut umur responden
 

Jadual 7 : Analisis varians sehala Tahap Masalah Menulis Jurnal

Mengikut Umur Guru Pelatih



 

Punca Variasi

DK

JKD

MKD

Nilai F

Keb.

Antara Kumpulan

2

14.31

7.16

   

Dalam Kumpulan

195

8260.52

42.36

0.17

0.84

Jumlah

197

8274.83

     
           

 
Jadual 7 menunjukkan analisis varians sehala tahap masalah menulis jurnal mengikut umur guru pelatih. Berdasarkan jadual tersebut, didapati nilai F ialah 0.17 dan p > 0.05 . Ini menunjukkan tidak terdapat perbezaan tahap masalah dalam menulis jurnal mengikut umur guru pelatih.
Perbandingan perbezaan tahap masalah dalam menulis jurnal mengikut bidang pengkhususan .
 

Jadual 8 : Analisis varians sehala tahap masalah menulis jurnal

Mengikut Bidang Pengkhususan Guru Pelatih

Punca Variasi

D.K

JKD

MKD

Nilai F

Keb.

           

Antara Kumpulan

7

913.70

130.53

   

Dalam Kumpulan

190

7361.13

38.74

3.37

0.002*

Jumlah

197

8274.83

     
           

 
* p< 0.05
Jadual 8 menunjukkan analisis varians sehala tahap masalah menulis jurnal mengikut bidang pengkhususan guru pelatih. Berdasarkan jadual tersebut, didapati terdapat perbezaan tahap masalah dalam menulis jurnal di kalangan guru pelatih ( Nilai F = 3.37 dan p < 0.05).

Setelah dibuat Ujian Scheffe, didapati skor min tahap masalah menulis jurnal bagi guru pelatih pengkhususan Agama ( min 83.83) adalah berbeza secara signifikan dengan skor min guru pelatih pengkhususan Matematik (min 76.72). Ini menunjukkan guru pelatih pengkhususan Agama lebih mengalami masalah berbanding dengan guru pelatih pengkhususan Matematik.

 Perbandingan perbezaan tahap masalah dalam menulisjurnal mengikut jantina dan kelayakan akademik.
 

Jadual 9 : Ujian - t Masalah Menulis Jurnal Mengikut Jantina

dan Kelayakan Akademik



 


 
 

Pembolehubah


 
 

Bilangan 


 
 

Min

Sisihan

Piawai


 
 

Nilai - t


 
 

Keb.

Jantina

         

Lelaki

Perempuan

31

167 

79.32

81.11

5.30

6.65

- 1.66

0.103

           

Kelayakan

Akademik

         

SPM

STPM

70

128

80.95

80.77

6.60

6.44

0.19

0.851

           

 
 Jadual 9 menunjukkan analisis Ujian-t masalah menulis jurnal mengikut jantina dan kelayakan akademik. Berdasarkan jadual tersebut, didapati tidak terdapat perbezaan yang signifikan masalah dalam menulis jurnal mengikut jantina ( nilai t = - 1.66, p > 0.05) dan juga mengikut kelayakan akademik ( nilai t = 0.19 , p > 0.05).


PERBINCANGAN & PENUTUP

Dalam mengenal pasti masalah menulis jurnal di kalangan guru pelatih yang sedang menjalani praktikum, sebanyak empat aspek telah dikaji, iaitu (I) menentu/memilih masalah (ii) merancang langkah-langkah (iii) melaksanakan langkah-langkah dan (iv) membuat refleksi.

Dari aspek menentu/memilih masalah, guru pelatih menghadapi masalah untuk mendapatkan bimbingan daripada guru pendamping. Tanpa bimbingan yang sewajarnya, guru pelatih akan terus mengalami masalah untuk membaiki amalan pengajaran mereka. Guru pelatih juga menyatakan kesukaran untuk berbincang dengan rakan pelatih. Ini mungkin disebabkan mereka kurang pengalaman untuk menentukan kesesuaian sesuatu masalah.

Dari aspek merancang langkah, didapati guru pelatih sering menghadapi masalah untuk membuat perancangan semula bagi mengatasi sesuatu masalah. Guru pelatih juga berpendapat pensyarah pembimbing kurang memberi nasihat dalam merancang langkah-langkah untuk mengatasi masalah tersebut. Seterusnya guru pelatih juga keberatan untuk meminta nasihat daripada guru pendamping.

Dari aspek melaksanakan langkah, masalah kesediaan guru pendamping berbincang dengan guru pelatih merupakan masalah utama. Ini disebabkan guru pelatih tidak dapat menjalinkan hubungan baik dengan guru pendamping. Di samping itu, mereka juga jarang meminta pandangan daripada guru pendamping. Dapatan kajian ini selaras dengan kajian Ng dan Ishak (1996) di mana guru pendamping kurang memberi bimbingan dalam aspek penulisan jurnal.

Seterusnya, dari aspek membuat refleksi didapati kebanyakan guru pelatih kurang menguasai kemahiran membuat refleksi. Di samping itu, mereka memerlukan bimbingan dan nasihat guru pendamping dan pensyarah pembimbing. Memandangkan membuat refleksi merupakan aspek yang penting dalam penulisan jurnal, maka dicadangkan agar pensyarah pembimbing dan guru pendamping memberi perhatian ke atas perkara tersebut.

Dapatan kajian ini juga mendapati faktor jantina dan kelayakan akademik guru pelatih tidak menunjukkan perbezaan tahap masalah dalam menulis jurnal. Manakala guru pelatih dari bidang pengkhususan Agama mempunyai perbezaan tahap masalah menulis jurnal dengan guru pelatih pengkhususan Matematik. Ini menunjukkan bahawa guru pelatih pengkhususan Agama mengalami masalah dalam menulis jurnal.

Implikasi dari kajian ini menunjukkan bahawa pensyarah pembimbing dan guru pendamping perlu mengambil inisiatif dan mengubah sikap agar guru pelatih yang sedang menjalani praktikum dapat memanfaatkan pengalaman penulisan jurnal bagi peningkatan kualiti pengajaran pembelajaran. Di samping itu guru pelatih juga perlu banyak bertanya dan meminta panduan dan bimbingan daripada mereka. Dicadangkan juga satu kajian yang serupa dijalankan terhadap pensyarah dan guru pendamping agar satu dapatan yang seimbang diperolehi dari pihak pensyarah dan guru.


 

RUJUKAN

Bahagian Pendidikan Guru(1996), Buku Panduan Praktikum Kursus Perguruan Asas Lima Semester Institut/Maktab Perguruan Malaysia .

Deas, R., Harisson, B.T., Henderson, J., Kautton, S., Roberts, M., Tratford, J. (1991)

Roles and relationships and teaching practice: How might effective partnership be achieved? Research in Education 46: 25-37.

Jeswant Kaur dan Tan Hui Leng 1996. Keberkesanan Guru Pembimbing dan Sokongan yang diterima Semasa Penyeliaan Praktikum. Laporan Penyelidikan Maktab Perguruan Ilmu Khas: Kuala Lumpur.

Ng Chiew Mei dan Ishak Osman 1996. Masalah yang dihadapi oleh guru pelatih Semasa Menjalankan Praktikum I. Laporan Penyelidikan Maktab Perguruan Ilmu Khas : Kuala Lumpur.

Ng Chiew Mei,. Ishak Osman,.Tan Hui Leng,. Jaganathan, M. dan Zamri Bahar 1994. Kesediaan guru pelarih semester 3 dalam menghadapi praktikum peringkat I. Laporan Penyelidikan Maktab Perguruan Ilmu Khas: Kuala Lumpur.

Salhah Abdullah, Ruzlan Md.Ali, Razmi Abdul Majid, Rohana Mahadzir dan Salmah Hj.Ishak 1997. Kajian Tindakan : Meningkatkan Kemahiran Membimbing Guru Pelatih Mangaplikasikan Pemikiran Reflektif Pedagogikal Semasa Praktikum . Institut Perguruan Darulaman.

Yeomans, R. 1994a. Relationships: Mentors and students’ dalam Robin Yeomans dan John Sampson (eds). Mentorship in the Primary School. London : Falmer Press.
 

IPDA Research