Make your own free website on Tripod.com

HUBUNGAN KONSEP KENDIRI DAN PENCAPAIAN AKADEMIK
DI KALANGAN GURU PELATIH

Najeemah Mohd Yusof
Jabatan Pendidikan
 

Abstrak


 
Kajian ini meninjau hubungan antara konsep kendiri dan pencapaian akademik di kalangan guru pelatih Institut Perguruan Darulaman. Subjek kajian terdiri daripada 111 orang guru pelatih perempuan dan 99 orang guru pelatih lelaki. Alat kajian yang digunakan ialah soal selidik ‘Tennessee Self-concept Scale’ yang telah diubah suai. Soal selidik ini mengandungi 60 item. Dapatan kajian menunjukkan majoriti guru pelatih Institut Perguruan Darulaman mempunyai konsep kendiri yang tinggi. Namun, peratusan guru pelatih perempuan yang mempunyai konsep kendiri yang tinggi melebihi guru pelatih lelaki. Analisis korelasi menunjukkan wujudnya hubungan yang signifikan tetapi sederhana di antara konsep kendiri dengan pencapaian akademik guru pelatih (r = 0.58, p<.01). Selain daripada itu, secara perbandingan , konsep kendiri aspek sosial didapati mempunyai hubungan yang paling tinggi dengan pencapaian akademik guru pelatih perempuan ( r = 0.66, p <.01). Bagi guru pelatih lelaki pula, konsep kendiri aspek psikologikal didapati menunjukkan sifat hubungan yang sama (r = 0.60, p <.01). Beberapa saranan dikemukakan untuk dipertimbangkan semasa merancang bagi pemupukan dan peningkatan konsep kendiri positif di kalangan guru pelatih.

 
  • Pengenalan
  • Kajian Berkaitan
  • Metod
  • Keputusan Kajian
  • Perbincangan
  • Kesimpulan
  • Rujukan

  • Pengenalan
     

    Kajian ini bertujuan untuk meninjau hubungan konsep kendiri dengan pencapaian akademik di kalangan guru pelatih Kursus Diploma Perguruan Malaysia, ambilan Julai 1997. Walaupun banyak kajian telah membuktikan wujudnya hubungan signifikan antara konsep kendiri dengan pencapaian akademik pelajar sekolah (Patri, 1986; Goh, 1977; Bailey et al, 1964), hubungan konsep kendiri dengan pencapaian akademik di kalangan guru pelatih masih perlu dibuktikan secara empirikal. Ini disebabkan wujudnya perbezaan yang nyata antara pelajar sekolah dan guru pelatih baik dari segi umur, pengalaman, kelulusan mahupun tumpuan kurikulum yang dirancang untuk mereka. Setakat pengetahuan pengkaji sehingga kini hanya satu kajian hubungan konsep kendiri dengan pencapaian akademik di kalangan guru pelatih dijalankan di negara ini (Azmah Tambi 1992). Kajian ini mendapati tiada perhubungan yang jelas antara konsep kendiri dengan pencapaian akademik.
    Maklumat mengenai aspek hubungan konsep kendiri dengan pencapaian akademik di kalangan guru pelatih penting untuk pendidik guru dan pihak yang berkepentingan dalam merancang langkah-langkah untuk meningkatkan pencapaian akademik guru pelatih dan seterusnya melahirkan insan guru yang berkualiti.


    Masalah kajian
     

    Berdasarkan pemerhatian pengkaji semasa berinteraksi dengan guru pelatih, didapati sesetengah daripada mereka mempunyai konsep kendiri yang positif. Mereka yakin terhadap diri dan aktif melibatkan diri dalam interaksi kuliah dan kokurikulum. Manakala ada sekumpulan guru pelatih yang agak pasif dan bersikap negatif. Di samping itu, ada juga diperhatikan guru pelatih perempuan menunjukkan pencapaian yang lebih tinggi dalam kerja kursus, peperiksaan dan aktiviti kokurikulum jika dibandingkan dengan guru pelatih lelaki. Apakah tahap konsep kendiri guru pelatih IPDA mengikut jantina ? Adakah wujudnya hubungan signifikan konsep kendiri dengan pencapaian akademik di kalangan guru pelatih IPDA ?

    Soalan kajian
     


    Batasan Kajian
     


    Definisi operasional
     

    Konsep kendiri merupakan gambaran seseorang tentang dirinya. Ia merupakan satu imej, idea dan perasaan mengenai seseorang yang sentiasa bergerak dan berubah-ubah. Roger (1981) menyatakan bahawa ia merupakan satu cara pembentukan personaliti individu yang merangkumi aspek pengamatan akan sifat diri dan kebolehannya, hubungan dengan orang lain dan persekitaran serta objek yang diamati yang mempunyai nilai-nilai positif dan nilai negatif.

    Coopersmith (1980) menyatakan bahawa konsep kendiri individu yang positif ialah individu yang mempunyai harga diri, menerima diri dan mempunyai pandangan hidup yang lebih baik serta pandai membuat keputusan. Sementara individu yang mempunyai konsep kendiri yang negatif kelihatan tidak gembira, berasa diri tidak berguna, mudah putus asa dan sukar baginya untuk membuat keputusan.

    Ringkasnya, bolehlah ditakrifkan bahawa konsep kendiri bertindak sebagai pusat kepada pembentukan personaliti seseorang itu. Penilaian sikap, kepercayaan dan persepsi terhadap diri sendiri dirangkumi sekali.
     
     

    Konsep Kendiri Aspek Fizikal
      Gambaran tentang fizikal diri daripada aspek keadaan kesihatan, bentuk badan dan rupa paras. Contohnya, sama ada seseorang menganggap dirinya sihat atau berpenyakit, menarik dan lain-lain.
     
     
    Konsep Kendiri Aspek Psikologikal
     
      Gambaran tentang tingkah laku diri serta harapannya, cara ia berfikir dan bertindak. Contohnya sama ada seseorang menganggap dirinya berfikir dan bertindak secara positif atau negatif; mengharapkan sesuatu yang baik atau buruk, melakukan sesuatu yang berfaedah atau sebaliknya.
     
     
    Konsep Kendiri Aspek Sosial Gambaran tentang kehiudpan sosial diri termasuk sifat hubungannya dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan lain-lain. Ianya merangkumi tanggapan diri terhadap kebolehan dan kemahirannya bergaul dengan orang lain. Contohnya, sama ada seseorang menganggap dirinya disayangi, diminati ataupun mudah bergaul, berinteraksi dengan orang lain.
     
     
    KAJIAN KONSEP KENDIRI BERKAITAN



     

    Banyak kajian tentang konsep kendiri telah dibuat dengan menggunakan pelbagai alat kajian. Ramai juga pengkaji yang berusaha mengenal pasti faktor-faktor yang memepengaruhi konsep kendiri seseorang . mengikut Samuel (1982) dan Schwartz (1982), konsep kendiri kanak-kanak bagi ibu bapa yang tinggi konsep kendirinya adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan konsep kendiri kanak-kanak bagi ibu bapa yang rendah konsep kendirinya.

    Selain daripada faktor-faktor yang mempengaruhi konsep kendiri, kajian juga membuktikan bahawa wujudnya hubungan antara konsep kendiri dengan sikap, pemikiran dan perlakuan seseorang. Vanderpool (1989) dan Gross (1980) telah membuat kajian tentang ‘self-regard’ dengan menggunakan Tennesse Self-Concept Scale ke atas penagih-penagih alkohol. Mereka mendapati bahawa penagih alkohol mempunyai ‘self-regard’ yang lebih rendah jika dibandingkan dengan orang-orang biasa.

    Medinnus (1985) telah membuat kajian ke atas pelajar-pelajar maktab. Hasil kajiannya menunjukkan bahawa pelajar-pelajar yang tinggi penerimaan kendirinya (self acceptance) adalah lebih penyayang dan kurang menolak keluarganya, jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar yang rendah penerimaan kendirinya.

    William dan Cole (1968) yang membuat kajian ke atas enam orang pelajar, mendapati adanya hubungan antara ‘self-regard’ dengan pencapaian dalam membaca dan matematik.

    Kajian yang dijalankan oleh Corington dan Beery (1987), menunjukkan bahawa pencapaian pelajar di sekolah adalah bergantung kepada bagaimana perasaannya terhadap dirinya.

    Anggapan terhadap kebolehannya yang sebenar. Jika ia rasa ia berkebolehan, ia akan berusaha ke arah itu. Ini bermakna bahawa, seseorang yang tinggi konsep kendirinya adalah lebih berkemampuan untuk berjaya kerana ia lebih beranggapan bahawa ia mempunyai kebolehan dan seterusnya berusaha ke arah itu.

    Ringkasnya konsep kendiri seseorang dipengaruhi oleh orang-orang ‘significant’ seperti ibu bapa, guru-guru dan rakan sebaya. Sikap, pemikiran, imej dan perlakuan mereka boleh mempengaruhi sikap, pemikiran, perlakuan dan seterusnya konsep kendiri mereka.

    Selain itu, konsep kendiri juga mempengaruhi banyak perkara. Anggapan yang positif terhadap dirinya juga menyebabkan seseorang itu berasa dirinya dihargai, dihormati, diterima dan difahami sama ada daripada orang lain atau dirinya. Perasaan seperti ini bukan sahaja membuatkan seseorang itu yakin terhadap dirinya, tetapi ia juga merupakan sebagai penggalak untuknya terus berusaha mencapai matlamatnya. Bagi pelajar yang tinggi konsep kendirinya, mereka sudah semestinya mempunyai arah yang hendak dituju dan seterusnya berusaha ke arah itu termasuk pencapaian kecemerlangan dalam bidang akademik.

    METOD


    Subjek kajian
     
    Kajian ini melibatkan guru pelatih semester 1 Kursus Perguruan Diploma Malaysia ambilan Julai 1977 dari Institut Perguruan Darulaman. Jumlah guru pelatih tersebut ialah 230 orang tetapi yang menjawab soal selidik ialah 210 orang (111 adalah perempuan dan 99 lelaki). Kumpulan pengkhususan subjek kajian ditunjukkan dalam jadual 1.

    Kebanyakan subjek kajian memiliki SPM dan sebahagian kecilnya STPM. Umur mereka dalam lingkungan 18 hingga 28 tahun
     

    Jadual 1 :Taburan Subjek Kajian Mengikut Kumpulan Pengkhususan


    Pengkhususan
    Bilangan
    MT/PJK

    MT/KH

    PRA/PM

    PA/KT

    SN/KT

    SN/KH

    PM/PS

    MT/SN 1

    MT/SN 2

    21 orang

    16 orang

    30 orang

    30 orang

    30 orang

    27 orang

    35 orang

    22 orang

    19 orang


     

    Instrumen
     

    Untuk tujuan kajian ini, satu set soal selidik Tennesse Self-Concept Scale yang diubah suai digunakan. Soal selidik ini mengandungi 60 item yang terdiri daripada pernyataan konsep kendiri yang tinggi dan rendah. Antara 60 item ini, 10 daripadanya dijeniskan sebagai pernyataan berkenaan dengan konsep kendiri aspek fizikal (item 1 hingga 10), 26 konsep kendiri aspek psikologikal (item 11 hingga 36) dan 24 lagi konsep kendiri aspek sosial (item 37 hingga 60). Subjek kajian dikehendaki memberi skala penilaian dari 1 hingga 5 untuk tiap-tiap item berdasarkan pandangannya terhadap dirinya(daripada paling tidak benar hingga kepada paling benar). Nilai pekali Cronbach (aplha) ialah 0.95.

    Cara Pembahagian Skor Konsep Kendiri
     

    Tiap-tiap skor yang diberi oleh subjek kajian diberi skor 1 hingga 5. Bagi pernyataan yang menunjukkan konsep kendiri yang tinggi, angka 1 yang diberi membawa 1 skor, angka 2 membawa 2 skor, angka 3 membawa 3 skor, angka 4 membawa 4 skor dan angka 5 membawa 5 skor.

    Bagi pernyataan yang menunjukkan konsep kendiri yang rendah, angka 1 membawa 5 skor dan angka 2 membawa 4 skor, angka 3 membawa 3 skor, angka 4 membawa 2 skor dan angka 5 membawa 1 skor. Jumlah skor minima yang akan diperolehi oleh seorang subjek ialah 60 dan jumlah skor maksima ialah 300. Pemeringkatan konsep kendiri ditunjukkan dalam jadual 2. Skor 60 hingga 179 digolongkan sebagai tahap konsep kendiri rendah. Manakala, skor 180 hingga 300 dikategorikan sebagai tahap konsep kendiri tinggi. Umumnya konsep kendiri rendah disifatkan sebagai konsep kendiri negatif, manakala konsep kendiri tinggi dikenali sebagai konsep kendiri positif.

    Jadual 2 : Pemeringkatan konsep kendiri mengikut skor.


    Skor yang di perolehi
    Tahap konsep kendiri
    60 hingga 179
     
     

    180 hingga 300

    Rendah
     
     

    tinggi

    Pencapaian Akademik
     

    Pencapaian akademik dinilai dari purata mata gred (PMG) dalam peperiksaan akhir Semester Satu. Pencapaian akademik mereka dibahagikan kepada tiga peringkat seperti berikut :-


    Jadual 3 : Tahap pencapaian akademik mengikut PMG


    PMG yang di perolehi
    Pencapaian Akademik

     

    3.50 – 4.00
     
     

    3.00 – 3.49
     
     

    2.00 – 2.99

    Prestasi Cemerlang
     
     

    Prestasi Tertinggi
     
     

    Prestasi Memuaskan


     

    Analisis data
     

    Skor konsep kendiri dikategorikan berpandukan kriteria yang ditunjukkan dalam jadual (2) untuk memperoleh tahap konsep kendiri. Ia dirumuskan dalam bentuk kekerapan dan peratusan mengikut jantina seperti yang ditunjukkan dalam jadual (5). Sementara sifat hubungan antara konsep kendiri dengan pencapaian akademik diukur dengan menggunakan ujian Korelasi Hasil Momen Pearson (r). Pengiraan pekali Korelasi (r) dijalankan dengan mekorelasikan skor konsep kendiri dengan purata mata gred (PMG) guru pelatih.


    KEPUTUSAN KAJIAN


    Tahap pencapaian akademik guru pelatih
     
     

    Jadual 4 : Taburan Pencapaian Akademik Mengikut Jantina


    PMG
    Bil. Perempuan
    Bil. Lelaki
    3.50 – 4.0

    (Prestasi Cemerlang)

    3
    3
    3.00 – 3.49

    (Prestasi Tinggi)

    77
    45
    2.00 – 2.91

    (Prestasi Memuaskan)

    31
    51

     
     
    Berdasarkan jadual (4), bilangan guru pelatih yang prestasi cemerlang hanya 6 orang (3 lelaki dan 3 perempuan). Manakala bagi kategori prestasi tinggi, guru pelatih perempuan melebihi guru pelatih lelaki. Seramai 77 orang guru pelatih perempuan berprestasi tinggi sementara hanya 45 orang guru pelatih lelaki berprestasi demikian. Pola yang berbeza pula diperhatikan untuk kategori prestasi memuaskan. Bagi kategori tersebut, lebih ramai guru pelatih lelaki berprestasi demikian daripada guru pelatih perempuan (lelaki 51 orang; perempuan 31 orang).


    Tahap konsep kendiri guru pelatih mengikut jantina.
     

    Jadual 5 : Tahap konsep kendiri guru pelatih mengikut jantina


    Jantina
    Konsep Kendiri
    Bilangan Subjek
    Peratus
    Perempuan
    Rendah
    22
    19.82%
    Tinggi
    89
    80.18%
    Lelaki
    Rendah
    30
    30.30%
    Tinggi
    69
    69.7%

     
     
    Jadual (5) menunjukkan pada keseluruhannya, kebanyakan guru pelatih mempunyai tahap konsep kendiri yang tinggi. Seramai 80.18% guru pelatih perempuan dan 69.7% guru pelatih lelaki mempunyai konsep kendiri tinggi. Satu perkara yang menarik ialah peratusan guru pelatih perempuan yang mempunyai konsep kendiri tinggi melebihi peratusan guru pelatih lelaki. Sementara, bagi konsep kendiri rendah pula, keadaan yang sebaliknya dapat diperhatikan. Lebih ramai guru pelatih lelaki mempunyai konsep kendiri rendah (lelaki 30.3%) berbanding guru pelatih perempuan (19.8%).


    Hubungan konsep kendiri dengan pencapaian akademik guru pelatih
     

    Analisis korelasi membuktikan wujudnya hubungan yang signifikan tetapi sederhana di antara konsep kendiri dengan pencapaian akademik guru pelatih. (r=0.58, p<.01). Ini bererti 34% variabiliti dalam pencapaian akademik boleh dijelaskan menerusi sifat hubungan konsep kendiri guru pelatih tersebut.


    Hubungan di antara konsep kendiri (fizikal, psikologi dan sosial) dengan pencapaian akademik di kalangan guru pelatih perempuan dan lelaki.
     

    Analisis korelasi menunjukkan wujudnya hubungan signifikan antara konsep kendiri daripada aspek fizikal, psikologikal dan sosial dengan pencapaian akademik di kalangan guru pelatih lelaki dan perempuan. Pekali korelasi (r) yang diperolehi berjulat di antara 0.49 – 0.66 (rujuk jadual (6)). Dengan nilai pekali korelasi tersebut, maka boleh ditafsirkan hubungan di antara pemboleh ubah yang diuji hanya bersifat sederhana sahaja. Untuk meneliti hubungan di antara aspek-aspek konsep kendiri dengan pencapaian akademik, perbandingan antara nilai pekali-pekali yang diperoleh dilakukan.

    Jadual 6: Pekali korelasi (r) antara konsep kendiri (aspek fizikal, psikologikal dan sosial)

    dengan pencapaian akademik mengikut jantina dan pekali penentu (r²)


     
     
    Aspek Konsep kendiri
    Jantina
    Pekali Korelasi

    (r)

    Pekali Penentu

    (r²)

    Fizikal
    P
    0.63**
    0.40
    L
    0.49**
    0.24
    Psikologikal
    P
    0.59**
    0.35
    L
    0.60**
    0.36
    Sosial
    P
    0.66**
    0.43
    L
    0.52**
    0.27
    ** p<.01
    Bagi guru pelatih perempuan, hubungan di antara konsep kendiri aspek sosial dengan pencapaian akademik menunjukkan pekali korelasi yang paling tinggi (r = 0.66, p<.0.1). Maka bolehlah dianggap sebanyak 43% daripada variabiliti dalam pencapaian akademik guru pelatih perempuan dapat dijelaskan menerusi konsep kendiri aspek sosial.

    Manakala bagi guru pelatih lelaki pula, hubungan di antara konsep kendiri aspek psikologikal dengan pencapaian akademik pula yang memperoleh nilai pekali korelasi yang paling tinggi (r = 0.60, p<.0.1). Ini bererti 36% variabiliti dalam pencapaian akademik guru pelatih lelaki boleh dikaitkan dengan konsep kendiri aspek psikologikal.
    Aspek konsep kendiri yang mempunyai hubungan yang paling rendah dengan pencapaian akademik guru pelatih perempuan ialah aspek psikologikal (r = 0.59, p<.0.1). Bagi guru pelatih lelaki pula aspek fizikal (r = 0.49, p<.0.1).

    Hasil analisis korelasi memperoleh satu penemuan menarik iaitu konsep kendiri aspek fizikal juga mempunyai hubungan yang agak tinggi dengan pencapaian akademik guru pelatih perempuan (r = 0.63, p <. 0.1). Aspek tersebut didapati mempunyai hubungan yang paling rendah dengan pencapaian akademik lelaki.

    PERBINCANGAN

    Hasil kajian menunjukkan kebanyakan guru pelatih mempunyai tahap konsep kendiri yang tinggi. Ini bererti majoriti guru pelatih dapat menerima diri, orang lain serta persekitaran dengan positif. Mereka mempunyai keyakinan terhadap diri sendiri baik daripada aspek fizikal, psikologikal mahupun sosial. Bagaimanapun, didapati lebih ramai guru pelatih perempuan mempunyai konsep kendiri positif daripada guru pelatih lelaki (perempuan 80.18%, lelaki 69.7%). Dengan kata lain, bilangan guru pelatih lelaki yang tidak dapat menerima diri orang lain atau persekitaran serta rendah tahap keyakinan diri adalah lebih ramai daripada guru pelatih perempuan. Dapatan ini menyarankan guru pelatih lelaki perlu diberi perhatian yang lebih oleh pensyarah dari segi pemupukkan dan peningkatan konsep kendiri positif.

    Hasil kajian membuktikan wujudnya hubungan signifikan di antara konsep kendiri dengan pencapaian akademik guru pelatih (r = 0.58, p<.01) walaupun pada tahap yang sederhana. Dapatan ini menolak Azmah Tambi (1992) yang mendapati hubungan diantara konsep kendiri dengan pencapaian akademik guru pelatih adalah tidak jelas. Bagaimanapun, ia menyokong dapatan kajian William & Cole (1968) dan Bailey et al. (1964). Walaupun subjek kajian mereka terdiri daripada pelajar mereka.

    Hasil kajian ini menyarankan 34% variabiliti pencapaian akademik guru pelatih boleh dijelaskan menerusi sifat konsep kendiri yang dimiliki. Maka sebarang usaha untuk mempertingkatkan pencapaian akademik guru pelatih harus mempertimbangkan langkah yang berkesan bagi mempertingkatkan konsep kendiri mereka.

    Apabila konsep kendiri dibahagikan kepada konsep kendiri fizikal, psikologikal dan sosial dan dikorelasikan dengan pencapaian akademik dan perbandingan pekali-pekali yang diperolehi dilakukan, adalah didapati konsep kendiri aspek sosial mempunyai hubungan yang paling tinggi dengan pencapaian akademik guru pelatih perempuan (r = 0.66, p<.01). Manakala konsep kendiri aspek psikologikal pula yang menunjukkan hubungan yang paling tinggi dengan pencapaian guru pelatih lelaki (r = 0.60, p<.01). Ini bererti guru pelatih perempuan yang menganggap dirinya cekap berkomunikasi, peramah dan suka berkawan akan memperoleh pencapaian akademik yang baik dan sebaliknya. Selain dari itu, dapatan tersebut mungkin menyarankan konsep kendiri aspek sosial lebih mempengaruhi pencapaian akademik guru pelatih perempuan daripada guru pelatih lelaki. Sementara guru pelatih lelaki yang menganggap diri memiliki tahap keyakinan yang tinggi, berfikir dan bertindak positif akan memperoleh pencapaian akademik yang baik dan sebaliknya. Ringkasnya, wujudnya perbezaan daripada aspek konsep kendiri yang mempunyai hubungan yang paling tinggi dengan pencapaian akademik di kalangan guru pelatih perempuan dan lelaki. Sebab sebenarnya wujud perbezaan tersebut sukar diperjelaskan dengan kajian yang ringkas ini.

    Selain daripada itu, kajian juga mendapati konsep kendiri aspek fizikal juga memperlihatkan hubungan yang agak tinggi dengan pencapaian akademik guru pelatih perempuan (r = 0.63, p<.0.1). Memang benar tanggapan seseorang terhadap keadaan kesihatan diri mempengaruhi pencapaian akademiknya. Tetapi sejauh manakah tanggapan terhadap paras rupa dan bentuk badan diri boleh mempengaruhi pencapaian akademik masih menjadi persoalan. Adakah guru pelatih perempuan yang menganggap dirinya cantik dan menarik akan menunjukkan pencapaian akademik yang baik?.

    Perbezaan kekuatan hubungan di antara pelbagai aspek konsep kendiri dengan pencapaian akademik di kalangan guru pelath perempuan dan lelaki menyarankan tumpuan yang berbeza dari segi bimbingan untuk mempertingkatkan konsep kendiri guru pelatih tersebut.

    KESIMPULAN

    Kajian ini merupakan satu tinjauan terhadap hubungan konsep kendiri dengan pencapaian akademik guru pelatih. Di samping itu, ia juga melihat hubungan aspek-aspek konsep kendiri dengan pencapaian akademik di kalangan guru pelatih lelaki dan perempuan. Hasil kajian membuktikan hubungan signifikan di antara pembolehubah-pembolehubah yang dikaji walaupun bersifat sederhana. Namun dapatan tersebut tidak mampu menyokong hubungan sebab-musabab di antara konsep kendiri dengan pencapaian akademik guru pelatih.


    RUJUKAN



     

    Atchinson, R. (1978). Behaviour And Development. London : Longman.
    Azmah Tambi, (1992) Konsep Kendiri dan Pencapaian Akademik dikalangan guru pelatih. Jurnal Pendidikan. Maktab Perguruan Seri Kota, Laporan Kajian ms. 12 – 18.
    Bailey et. al. (1964). Social Psychology. London : Croom Helm.
    Corington & Beery. (1984). Home Learning. London : Methuen & Co. Ltd.
    Coopersmith,D. (1980). Family Communication, New Jersey : Prentise Hall, Inc.
    Goh, B. (1977). Attitude And Education. Kuala Lumpur : Sage Publication.
    Gross, M. (1980). Society. Illinois : Kogan Page.
    Medinnus, (1985) Child Psychology. London : University of London Press.
    Patri, S. (1980). Adolescent In School And Society. New York : Indiana University.
    Roger, S. (1981). Social Psychology. London : Bothum & C Ltd.
    Samuel, J. (1982). The Achievement Syndrome. American Sociological Review, Vol 21.
    Schwartz, T. (1982). Social Factors In Academic Achievement. New York : The Free Press.
    Venderpoll, W. (1989). Social Behaviour. London : Grant Mclntyre.
    William & Cole D, (1968) Student Attitude And Achievement. American Journal Of Sociology, Vol.63,. 36 – 53,

    IPDA Research